Sunday, January 31, 2016

Perang Di Sekitar Sungai Furat Kerana Merebut Kekayaan

حَدَّثَنَا قُتَيْبَةُ بْنُ سَعِيدٍ حَدَّثَنَا يَعْقُوبُ - يَعْنِي ابْنَ عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْقَارِيَّ - عَنْ سُهَيْلٍ عَنْ أَبِيهِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَحْسِرَ الْفُرَاتُ عَنْ جَبَلٍ مِنْ ذَهَبٍ يَقْتَتِلُ النَّاسُ عَلَيْهِ فَيُقْتَلُ مِنْ كُلِّ مِائَةٍ تِسْعَةٌ وَتِسْعُونَ وَيَقُولُ كُلُّ رَجُلٍ مِنْهُمْ لَعَلِّي أَكُونُ أَنَا الَّذِي... أَنْجُو " .
)كتاب الفتن وأشراط الساعة, باب لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَحْسِرَ الْفُرَاتُ عَنْ جَبَلٍ مِنْ ذَهَبٍ,٢٨٩٤, صحيح مسلم (

Maksudnya:
Qutaibah bin Said telah menceritakan kepada kami, Ya’qub iaitu Ibn Abd al-Rahman al-Qari telah menceritakan kepada kami, daripada Suhail daripada bapanya daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Tidak berlaku hari kiamat sehingga Sungai Furat (Sungai Euphrates, iaitu sebuah sungai yang terdapat di Iraq) menjadi surut airnya sehingga kelihatan sebuah gunung emas. Banyak orang yang terbunuh kerana berebut mendapatkannya. Maka terbunuhlah sembilan puluh sembilan dari seratus orang yang berperang. Dan masing-masing yang terlibat berkata. ‘Mudah-mudahan akulah orang yang selamat itu’.”(HR Muslim)

Keterangan Hadith:
Hadis ini jelas sekali menerangkan kepada kita, di negara Iraq dan sekitarnya akan tersebar peperangan yang disebabkan merebut harta kekayaan yang terdapat di tempat tersebut, banyak yang menjadi korban dan semua yang terlibat bercita-cita hanya dia akan terselamat dari bala tersebut.

Pengajaran Hadith:
1. Mendidik hati agar tidak taksub kepada harta dunia dan sentiasa berdoa agar dihindari daripada fitnah harta.
2. Perpada-pada dalam mencari harta di dunia, ia perlu diseimbangkan dengan amalan ibadah kepada Allah sebagai bekalan di Akhirat.

Rujukan:
Imam al-Hafiz Abi Husain Muslim bin al-Hajjaj. Sahih Muslim. Baitul Afqar Dauliyyah: Riyadh. Kitab 52. Bab 8. No. Hadith 2894. Halaman: 1160.
Abu Ali al-Banjari An-Nadwi. 40 Hadith Peristiwa Akhir Zaman. 2000. Khazanah Banjariah : Kedah. Halaman 69-70.