حَدَّثَنَا عُمَرُ بْنُ حَفْصِ بْنِ غِيَاثٍ حَدَّثَنَا أَبِي حَدَّثَنَا الأَعْمَشُ حَدَّثَنَا شَقِيقٌ سَمِعْتُ حُذَيْفَةَ يَقُولُ بَيْنَا نَحْنُ جُلُوسٌ عِنْدَ عُمَرَ قَالَ أَيُّكُمْ يَحْفَظُ قَوْلَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فِي الْفِتْنَةِ. قَالَ " فِتْنَةُ الرَّجُلِ فِي أَهْلِهِ وَمَالِهِ وَوَلَدِهِ وَجَارِهِ تُكَفِّرُهَا الصَّلاَةُ وَالصَّدَقَةُ وَالأَمْرُ بِالْمَعْرُوفِ وَالنَّهْىُ عَنِ الْمُنْكَرِ ". قَالَ لَيْسَ عَنْ هَذَا أَسْأَلُكَ وَلَكِنِ الَّتِي تَمُوجُ كَمَوْجِ الْبَحْرِ. قَالَ لَيْسَ عَلَيْكَ مِنْهَا بَأْسٌ يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ إِنَّ بَيْنَكَ وَبَيْنَهَا بَابًا مُغْلَقًا. قَالَ عُمَرُ أَيُكْسَرُ الْبَابُ أَمْ يُفْتَحُ قَالَ بَلْ يُكْسَرُ. قَالَ عُمَرُ إِذًا لاَ يُغْلَقَ أَبَدًا. قُلْتُ أَجَلْ. قُلْنَا لِحُذَيْفَةَ أَكَانَ عُمَرُ يَعْلَمُ الْبَابَ قَالَ نَعَمْ كَمَا أَعْلَمُ أَنَّ دُونَ غَدٍ لَيْلَةً وَذَلِكَ أَنِّي حَدَّثْتُهُ حَدِيثًا لَيْسَ بِالأَغَالِيطِ. فَهِبْنَا أَنْ نَسْأَلَهُ مَنِ الْبَابُ فَأَمَرْنَا مَسْرُوقًا فَسَأَلَهُ فَقَالَ مَنِ الْبَابُ قَالَ عُمَرُ.
Maksudnya:
Umar bin Hafs bin Ghiyath telah menceritakan kepada kami, bapaku telah menceritakan kepada kami, al-A'masy telah menceritakan kepada kami, Syaqiq telah menceritakan kepada kami, aku mendengar Hudzaifah berkata, ketika kami duduk bersama ‘Umar, tiba-tiba beliau bertanya: “Siapakah daripada kalangan kamu semua yang menghafal hadis Nabi SAW tentang fitnah?” Kata Huzaifah: “Fitnah (kekurangan dalam melaksanakan kewajipan) seorang lelaki terhadap keluarga, harta, anak dan jirannya, akan dihapuskan dengan solat, sedekah dan amar makruf nahi mungkar.” ‘Umar berkata: “Bukan fitnah itu yang saya maksudkan, akan tetapi yang saya tanyakan ialah fitnah yang memukul seperti gelombang laut.” Jawab Huzaifah: “Jangan bimbang wahai Amir al-Mukminin, sesungguhnya antara anda dan fitnah itu ada satu pintu yang tertutup”. Berkata ‘Umar: “Apakah pintu itu akan dipecahkan atau akan dibuka?” Jawab Huzaifah: “Bahkan ia akan dipecahkan.” Kata ‘Umar: “Jika demikian dia tidak akan ditutup lagi buat selama-lamanya.” Jawab Huzaifah: “Ya benar.” Lalu kami bertanya kepada Huzaifah: “Apakah ‘Umar mengetahui pintu tersebut?” Beliau menjawab: “Ya, dia mengetahuinya sepertimana pengetahuannya akan ketiadaan hari esok tanpa terlebih dahulu datangnya malam, hal itu demikian kerana aku mengkhabarkan kepadanya satu berita yang bukanlah kabur padanya. (kata Syaqiq) kami bimbang untuk bertanya kepada Huzaifah siapakah pintu tersebut, lalu kami meminta Masruk untuk bertanya, lalu Masruk bertanya kepada Huzaifah: “Siapakah pintu tersebut?” Jawab Huzaifah: “Pintu itu adalah ‘Umar.”
Keterangan Hadith:
Hadis ini merupakan pengkhabaran daripada Nabi SAW akan keadaan akan datang, dimana fitnah akan berlaku, maka baginda SAW memberi peringatan kepada umat Baginda agar bersegera melakukan amalan soleh dan jangan melengah-lengahkannya lagi, kerana apabila sampai waktu fitnah seseorang itu tidak mampu lagi melakukan apa-apa amalan soleh.
Ternyata setelah wafatnya baginda SAW berlaku banyak fitnah yang menguji ketahanan iman dan keyakinan setiap muslim. Bermula dari berlakunya kemurtadan di kalangan masyarakat Arab dengan kewafatan baginda. Namun fitnah ini berjaya ditanggapinya oleh kesemua para sahabat yang diketuai oleh Khalifah yang pertama, Sayyidina Abu Bakr al-Siddiq RA. Setelah api fitnah ini berjaya dipadamkan oleh para sahabat datang pula fitnah yang berikutnya dan ia berterusan merebak sehingga ke hari ini, iaitulah fitnah yang bermula dengan pembunuhan khalifah Islam yang ketiga Sayyidina ‘Uthman bin al-‘Affan RA. Pintu kepada fitnah ini adalah dengan kematian Khalifah yang kedua, Sayyidina ‘Umar bin al-Khattab RA.
Fitnah kekacauan dan peperangan ini apabila berlaku ia akan terus berterusan. Ia merupakan fitnah yang menyesatkan manusia, termasuk di dalam fitnah kekacauan ini adalah fitnah politik, ideologi, keyakinan dan pengamalan yang dinyatakan oleh Nabi SAW seseorang itu boleh menjadi beriman pada pagi hari, namun apabila petang dia menjadi kafir, boleh jadi seseorang itu beriman pada petang harinya pula, namun pada pagi keesokannya dia menjadi kafir. Keadaan ini disebabkan seruan kebatilan yang dihadap dan diajukankan kepadanya sehingga dia tidak dapat membezakan lagi antara kebenaran dengan kebatilan.
Pengajaran Hadith:
1. Umat Islam harus beriltizam dengan melakukan amalan soleh merupakan sebab terselamat dari fitnah yang menyesatkan ini. Hal ini demikian kerana sesiapa yang berpegang teguh dengan agama Allah ketika dalam keadaan selesa dan selamat, maka ketika kedatangan fitnah ia akan tetap terselamat. Melakukan amalan soleh adalah dengan berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah, kerana kedua-duanya merupakan penyelamat dan pelindung daripada fitnah.
2. Kita hendaklah menjauhkan diri kita daripada terjebak dengan gejala fitnah duniawi.
Rujukan:
Ibnu Hajar al-Asqalani. 2009. Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al Bukhari. Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 17 Halaman 157-179.