حَدَّثَنَا إِسْمَاعِيلُ حَدَّثَنِي مَالِكٌ عَنْ أَبِي الزِّنَادِ عَنِ الأَعْرَجِ عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ " لاَ تَقُومُ السَّاعَةُ حَتَّى يَمُرَّ الرَّجُلُ بِقَبْرِ الرَّجُلِ فَيَقُولُ يَا لَيْتَنِي مَكَانَهُ ".
Maksudnya:
Ismail telah menceritakan kepada kami, Malik telah menceritakan kepadaku daripada Abi al-Zinad daripada al-A'raj daripada Abu Hurairah daripada Nabi SAW, Baginda bersabda: “Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga seseorang melalui kubur orang lain lalu berkata, ‘alangkah baik sekiranya aku yang berada di tempatya’.”
Keterangan Hadith:
Ibn Battal mengatakan bahawa iri hati terhadap penghuni kubur dan mengharapkan kematian ketika berlakunya fitnah adalah kerana seseorang itu khuatir kehilangan agamanya disebabkan kebatilan yang melular. Begitu juga dengan merebaknya kemaksiatan dan kemungkaran yang berlaku. Ibn Baththal menambah dengan menyatakan bahawa perkara ini tidak berlaku secara umum bagi semua manusia tetapi khusus bagi orang-orang yang baik. Hal ini sedemikian kerana mungkin sahaja sesetengah orang mengharapkan kematian disebabkan musibah yang menimpanya. Perkara ini sangat ditegah berdasarkan sabda Rasulullah SAW, “Janganlah seorang di antara kamu mengharapkan kematian karena musibah yang menimpanya dan apabila dia memang harus mengharapkan, sebaiknya dia berkata: Ya Allah! Hidupkanlah aku selama kehidupan itu yang terbaik bagiku, dan matikanlah aku jika kematian itu yang terbaik bagiku.”
al-Qurtubi mengatakan di dalam hadith ini terdapat isyarat mengenai fitnah dan kesulitan yang sangat teruk terjadi sehingga urusan agama diabaikan. Di mana semua orang sibuk menguruskan urusan duniawinya sahaja tanpa mengambil berat soal agama. Oleh itu, makruh mengharapkan kematian apabila berkenaan dengan kemudaratan atau kesempitan hidup duniawi, tetapi tidak makruh apabila motivasinya kerana takut fitnah terhadap agama disebabkan kerosakan zaman.
Pengajaran Hadith:
1. Mengharap kepada kematian dibolehkan sekiranya dia risau terhadap gejala fitnah mengenai agamanya khusunya pada akhir zaman.
2. Umat Islam mestilah sentiasa bersedia dengan fitnah yang akan berlaku serta melakukan amalan yang boleh menjadi benteng kepada fitnah.
Rujukan:
Ibn Hajar Al Asqalani. 2009. Fathul Baari Penjelasan Kitab Shahih Al Bukhari. Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 22. Halaman 253-257.