Sunday, January 31, 2016

Larangan Mengacukan Senjata Kepada Muslim

حَدَّثَنَا مُحَمَّدٌ أَخْبَرَنَا عَبْدُ الرَّزَّاقِ عَنْ مَعْمَرٍ عَنْ هَمَّامٍ سَمِعْتُ أَبَا هُرَيْرَةَ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ " لاَ يُشِيرُ أَحَدُكُمْ عَلَى أَخِيهِ بِالسِّلاَحِ فَإِنَّهُ لاَ يَدْرِي لَعَلَّ الشَّيْطَانَ يَنْزِعُ فِي يَدِهِ فَيَقَعُ فِي حُفْرَةٍ مِنَ النَّارِ ".

Maksudnya:
Muhammad telah menceritakan kepada kami, Abd al-Razzaq telah mengkhabarkan kepada kami daripada Ma‘mar daripada Hammam, aku mendengar Abu Hurairah daripada Nabi SAW bersabda: “Janganlah seseorang mengacukan senjatanya kepada saudaranya sesama muslim, kerana dia tidak tahu syaitan akan mempengaruhinya sehingga dia akan membunuh saudaranya itu, lalu dia akan masuk neraka”.

Keterangan hadith :
Dalam hadith ini terdapat larangan melakukan sesuatu yang dapat mendorong seseorang kepada perbuatan terlarang meskipun larangan itu belum pasti dilakukan, baik dia bersungguh-sungguh atau pun hanya bergurau. Menurut al-Tin, maksud perkataan yanzi’uhuu adalah mencabutnyaa dari tangan orang itu dan menghalakan kepada saudaranya, atau dia mendorong tangannya agar menimpa saudaranya. Sebagaimana yang disebut dalam hadith Abu Hurairah yang bermaksud “Para malaikat melaknat salah seorang kamu jika menunjuk ke arah orang yang lain dengan besi tajam meskipun itu adalah saudaranya sebapa dan seibu.” Oleh itu, kita dilarang untuk bermain-main dengan alat yang tajam walaupun tanpa sebarang niat yang jahat kerana dikhuatiri akan terdorong dengan bisikan syaitan.

Pengajaran Hadith :
1. Islam melarang umatnya daripada mengacu atau mengarahkan senjata kepada sesama muslim.
2. Dalam hadith lain daripada Imam Muslim juga menyebut larangan membawa senjata di kawasan lapang yang mempunyai ramai orang. Hal ini menunjukkan Nabi SAW mementingkan silaturrahim antara umat Islam.

Rujukan:

(Ibnu Hajar al-Asqalani, 2009, Fath al-Baari Penjelasan Kitab Sahih al-Bukhari . Penterjemah : Amiruddin. Cetakan Pertama. Jilid 35. Jakarta : Pustaka Azzam. Kitab al-Fitan. Bab 7. Halaman 72-80.)