Sunday, January 31, 2016

Golongan Yang Akan Mendapat Pertolongan Daripada Allah swt

حَدَّثَنَا مَحْمُودُ بْنُ غَيْلاَنَ حَدَّثَنَا أَبُو دَاوُدَ حَدَّثَنَا شُعْبَةُ عَنْ مُعَاوِيَةَ بْنِ قُرَّةَ عَنْ أَبِيهِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " إِذَا فَسَدَ أَهْلُ الشَّامِ فَلاَ خَيْرَ فِيكُمْ لاَ تَزَالُ طَائِفَةٌ مِنْ أُمَّتِي مَنْصُورِينَ لاَ يَضُرُّهُمْ مَنْ خَذَلَهُمْ حَتَّى تَقُومَ السَّاعَةُ
كتاب الفتن عن رسول الله صلى الله عليه وسلم) باب مَا جَاءَ فِي الشَّام)

Maksudnya:
Mahmud bin Gahilan telah menceritakan kepada kami, Abu Daud telah menceritakan kepada kami,  Shu’bah telah menceritakan kepada kami daripada Mu’awiyah bin Qurrah daripada bapanya, dia berkata, Rasulullah SAW bersabda: “Akan sentiasa ada sekelompok daripada umatku mendapat pertolongan. Orang-orang yang menghinakannya tidak akan membahayakan mereka hingga terjadi hari kiamat”.

(HR. Muslim: Kitabul Imarah no. 3544 dan Tirmidzi: Kitabul fitan no. 2155 )

Keterangan Hadith:

‘Al-Taifah al-Mansurah’ ialah kelompok/golongan yang mendapatkan pertolongan, yang memperoleh kemenangan. Hadith ini menjelaskan akan adanya sekelompok umat dari (kaum Muslimin) yang sentiasa berjuang menegakkan dan membela agama Islam yang ‘haq’. Mereka itu sentiasa berada di atas kebenaran dan mendapat pertolongan Allah dan memperoleh kemenangan malah tidak berpengaruh dengan kelompok lain yang membencinya dan memusuhinya. Mereka terus istiqamah dalam kebenaran hingga hari kiamat.

Para ahli hadith seperti imam al-Bukhari dan Imam Ahmad berpendapat bahwa Taifah Mansurah adalah ‘Ashab al-Hadith’, alim ulama yang menjaga risalah Islamiyah tetap berada pada kemurnian agama Islam sebagaimana pada awalnya Rasulullah Saw dan para sahabat, generasi awal atau generasi salaf menerima, memahami dan mempraktikkan ajaran Islam dari sumber yang asal.

Para ulama menyebut al-Taifah al-Mansurah adalah sebahagian dari (Golongan yang Selamat), sebahagian daripada Ahl al-Sunnah Wa al-Jamaah, sebahagian daripada al-Ghuraba ( Yang Terasing). Bahawa kebenaran itu tidak akan pernah sirna dan akan terus bersinar disetiap zaman dan generasi.

Pengajaran Hadith

1. Akan adanya sekelompok umat Muhammad yang sentiasa membela sunnahnya dan berpegang kepada kebenaran di setiap zaman, semoga kita termasuk dalam golongan mereka.
2. Golongan yang mendapat pertolongan ini akan terus berjalan dan menebar walaupun dicemuh oleh orang yang membenci ahli ibadat.
3. Golongan ini akan ditolong oleh Allah dari segi kekuatan fizikal dan kekuatan hujah dan keterangan.


Rujukan:

Imam Yahya Bin Syarif An-Nawawi. 2000. Shahih Muslim Bi Syarah Nawawi. Pentahqiq: Muhammad Fuaad Abdul Baqi. Juzuk 18. Beirut, Lubnan. Halaman 70.Muhammad Idris Al-Marbawi. 2008. Bahru Al-Madzi Syarah Mukhtashar Shahih at-Tirmidzi. Pengalih Tulisan: Noraine Abu. Juzuk 15. Kuala Lumpur.